Coklat dan Kesihatan
- iedapartner
- Mar 4, 2017
- 2 min read

Tidak ramai mahu menjadikan coklat antara menu penting makanan harian kerana bimbang pengambilannya boleh menyebabkan kegemukan terutama di kalangan wanita yang mementingkan kecantikan. Walaupun, kajian saintifik membuktikan coklat mempunyai khasiat tersendiri, ia belum mampu mengikis tanggapan yang sekian lama menghantui pemikiran individu. Malah, coklat tetap dikaitkan punca obesiti. Hakikatnya, pengambilan coklat khususnya coklat hitam (dark chocolate) amat penting untuk kesihatan. Ini kerana, coklat hitam mengandungi antioksidan lapan kali lebih tinggi berbanding buah strawberi. Kajian yang dilakukan juga mendedahkan kandungan flavonoid, iaitu bahan antioksidan dalam koko, baik untuk kesihatan jantung kerana ia boleh melancarkan aliran darah, mengurangkan risiko pembentukan darah beku dan memperbaiki tahap kolesterol, selain melindungi kerosakan dan keradangan sel. Penyelidik juga mendapati coklat mampu membantu merendahkan tekanan darah. Menerusi kajian dilakukan ke atas pesakit tekanan darah tinggi yang makan kira-kira 100 gram coklat sehari selama dua minggu menunjukkan penurunan tekanan darah yang ketara, malah kadar kolesterol buruk juga semakin berkurangan, sekali gus membuktikan makanan manis itu ada manfaatnya jika diambil secara sederhana. Ahli sukan, Zawen Anuar berkata, khasiat yang terkandung dalam coklat hitam berbeza dengan coklat putih kerana ia tiada kandungan koko atau flavonoid, tetapi masyarakat sekarang lebih gemar memakannya berbanding coklat hitam. “Sebenarnya, memakan coklat hitam boleh membantu mengubah mood seseorang yang tertekan menjadi gembira kerana pengambilannya akan meningkatkan hormon yang merangsang perasaan ceria. “Jadi, untuk memulakan sesuatu seperti ingin melakukan senaman, seeloknya makan coklat gelap terlebih dulu untuk menimbulkan mood yang baik tetapi elakkan mengambil coklat putih yang mengandungi banyak susu kerana susu menghalang penyerapan anti oksidan,” katanya ketika ditemui di KLCC, baru-baru ini. Mengikut sukatan terbaik, coklat hitam sepatutnya mengandungi 70 peratus koko dan 30 peratus susu tetapi rasanya yang sedikit pahit mungkin menyebabkan coklat itu tidak digemari orang ramai. Berikutan itu, Cadbury bakal mengeluarkan coklat hitam yang mengandungi 45 peratus koko dinamakan Bournville Fine Dark Chocolate yang akan dipasarkan bermula Julai ini. Zawen berkata, keistimewaan coklat hitam juga mampu menjadikan kulit wajah awet muda kerana mengandungi mineral dan vitamin A,C dan E, serta kemampuannya meningkatkan peredaran darah sehingga ke otak, sekali gus dapat merangsang ingatan menjadi lebih baik. Kehadiran radikal bebas boleh mengancam kesihatan dan menjadi penyebab utama kepada pelbagai masalah kronik. Malah, kehadiran radikal bebas juga sering menjadi kebimbangan kerana ia dikatakan boleh mempercepatkan proses penuaan dan meningkatkan risiko penyakit seperti jantung, strok, kencing manis, artritis dan kanser.
Comentários